Pengikut

Selasa, 28 Mei 2013

Kepentingan sirah dan Manhaj Nabawi


Dr. Said Ramadhan al-Buti menegaskan bahawa tujuan memahami sirah ialah agar setiap orang muslim memperolehi gambaran sebenar tentang hakikat agama Islam secara sempurna yang tercermin dalam kehidupan Nabi Muhammad s.a.w. sesudah ia difahami secara konsepsional sebagai prinsip, kaedah dan hukum. Oleh itu, mempelajari sirah mengandungi beberapa faedah. Antara lainnya ialah memahami keperibadian nabi melalui celah-celah kehidupan dan keadaan-keadaan yang pernah dihadapinya, untuk menegaskan bahawa nabi Muhammad bukan sahaja seorang yang terkenal di antara kaumnya sahaja tetapi sebelum itu baginda adalah seorang Rasul yang didukung oleh Allah dengan wahtu dan taufik dariNya. Kedua ialah agar manusia mendapat gambaran contoh terbaik dalam seluruh kehidupan yang utama untuk dijadikan dastur dan pedoman kehidupan.Tidak diragukan lagi, betapapun manusia mencari contoh terbaik mengenai salah satu aspek kehidupan, dia pasti akan mendapatkannya di dalam kehidupan Rasulullah secara jelas dan sempurna
Oleh itu, Allah menjadikannya qudwah bagi seluruh manusia seperti firman Allah yang beermaksud : “ Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah itu suri teladan yang baik bagi kamu.” (al-Ahzab 21) Ketiga ialah agar manusia mendapatkan dalam mempelajari sirah Rasulullah ini, sesuatu yang dapat membantunya untuk memahami kitab Allah dan menyelami tujuan-tujuannya. Ini disebabkan banyak ayat-ayat al-Quran yang boleh ditafsirkan dan dijelaskan maksudnya melalui peristiwa-peristiwa yang pernah dihadapi Rasulullah s.a.w. dan sikapnya.

Keempat ialah dengan mempelajari sirah ini seseorang muslim dapat mengumpulkan sekian banyak pengetahuan dan ilmu-ilmu Islam yang benar, sama ada dalam perkara akidah, hukum dan akhlak. Tidak diragukan lagi bahawa kehidupan Rasulullah merupakan gambaran yang kukuh dari sejumlah prinsip dan hukum. Kelima ialah agar setiap pendakwah Islam memiliki contoh hidup dalam aspek pendidikan dan dakwah. Adalah Rasulullah s.a.w. seorang dai, pemberi nasihat dan guru yang terbaik yang tidak berputus asa mencari pendekatan terbaik dalam pendidikan selama beberapa periode dakwahnya.

Satu perkara yang menjadikan sirah ini cukup relevan sehingga hari ini ialah kerana seluruh kehidupan baginda mencakupi seluruh aspek sosial dan kemanusiaan yang ada pada manusia baik sebagai peribadi ataupun sebagai anggota masyarakat yang aktif. Kehidupan Rasulullah memberikan kepada kita kehidupan yang mulia, baik sebagai seorang pemuda Islam yang lurus perilakunya atau sebagai pendakwah kepada Allah dengan hikmah dan nasihat yang baik, yang mengerahkan segala kemampuan untuk menyempurnakan risalah Islam. Juga sebagai ketua negara yang mengatur segala urusan dengan adil dan bijaksana, sebagai suami teladan dan seorang ayah yang penuh kasih sayang, sebagai panglima perang yang mahir, sebagai negarawan yang pandai dan jujur, dan sebagai muslim secara keseluruhannya dapat melakukan secara seimbang antara kewajipan beribadat kepada Allah dan bergaul dengan keluarga dan masyarakat dengan baik. Maka kajian sirah nabi adalah untuk melahirkan aspek-aspek kemanusiaan ini secara keseluruhan yang tercermin dalam qudwah yang paling sempurna dan terbaik. Umpamanya, jika anda seorang pembuka kota negara, ambillah pengajaran yang dilakukan oleh Rasulullah selepas kemenangan di Badar, Hunain dan pembukaan Mekah dan jika anda mengalami kegagalan ambillah pengajaran perang Uhud yang mana baginda berada di antara sahabatnya yang telah syahid dan mengalami kecederaan. Jika anda seorang guru lihatlah pengajaran yang dilakukan oleh Rasulullah di Suffat dalam masjid nabawi dan jika anda seorang pelajar maka gambarkanlah anda berada di antara Jibrail yang menyampaikan wahyu kepada nabi. Jika anda sebagai hakim, ikutilah penyelesaian Rasulullah s.a.w dalam meletakkan hajarul Aswad.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan