Pengikut

Isnin, 27 Mei 2013

KETINGGIAN BUDAYA ILMU

Umat Islam di Andalusia merupakan contoh kepada masyarakat Eropah dalam segala hal. Umat Islam mencipta budaya tinggi (high culture). Umat Islam menjunjung tinggi nilai-nilai yang membolehkan mereka memimpin masyarakat Dunia. Mereka adalah simbol ketertiban, kesopanan, kebersihan, kebijaksanaan, ketamadunan, persamaan, dan kemajuan. Mereka adalah contoh
masyarakat yang memiliki budaya yang tinggi. Budaya ilmu adalah budaya yang diwarnai oleh kebijaksanaan dalam berfikir dan bertindak. Sesiapa sahaja, baik raja, pemimpin, atau rakyat kecil, akan berfikir dan bertindak dengan betul dan bijaksana, tidak mengikuti emosi, marah, atau angkuh.

Terdapat beberapa ciri khas bagi masyarakat yang cerdas dan memiliki budaya ilmu:
1.         Peranan besar ilmuwan dalam mencerdaskan dan mencerahkan masyarakat. Mereka tidak terpisah daripada masyarakat tetapi berfungsi sebagai agen perubahan dan pencerahan. Ilmuwan dalam Islam, seperti ditegaskan oleh Siddiq Fadzil (2006), mempunyai misi tahriri-tanwiri-taghyiri. Ilmuwan dalam sistem pendidikan yang mengutamakan keuntungan seringkali menjadi alat dan bukan agen perubahan dan pencerahan. Masyarakat tidak menghormati dan merujuk kepada ilmuwan sebaliknya banyak dipengaruhi oleh para penghibur, kapitalis, penguasa absolutis dan akibatnya masyarakat menjadi tidak cerdas dan tidak berbudaya ilmu.
2.         Penghormatan terhadap autoriti. Kepakaran dan autoriti adalah penting untuk memastikan keputusan dilakukan berdasarkan ilmu dan kebijaksanaan dan bukan mengikut hawa nafsu dan emosi (Wan Mohd Nor Wan Daud 1997). Kerosakan akan timbul apabila yang menjadi rujukan dalam memahami Islam adalah orang-orang yang jahil. Banyak kesilapan dan malapetaka berlaku yang berpunca daripada keputusan diambil oleh pemimpin dengan membelakangi para pakar  dalam bidangnya. Hal ini jelas apabila diselidiki punca kekalahan umat Islam di Barcelona di zaman Andalusia.
3.         Segala persoalan dibahas dengan bijaksana dan dewasa. Sikap absolutis, autoritarian dan kuku besi tidak melambangkan kebijaksanaan dan kedewasaan. Dalam peradaban Islam yang asal, ilmu yang berkuasa dan bukan kuasa politik. Setelah prinsip musyawarah diketepikan, ilmu tidak menjadi ukuran, ulama ditindas maka perpecahan mula berlaku dan masyarakat hidup dalam kegelapan
4.         Pengangkatan seseorang pemimpin berdasar ilmu, kemampuan dan akhlak. Ketiga-tiga perkara ini telah menjadi kriteria pemilihan pemimpin pada zaman Rasulullah s.a.w dan al-Khulafa al-Rashidun. Sebaliknya apabila pengangkatan dilakukan berdasar keturunan, wang
dan kuasa maka ia mencerminkan bahawa masyarakat yang bertangggungjawab adalah masyarakat yang tidak cerdas dan tidak berbudaya ilmu.                 
5.         Masyarakat yang cerdas dan berbudaya ilmu adalah masyarakat yang terbuka fikirannya dan maju cara berfikirnya. Mereka menerima sesuatu pandangan berdasarkan kekuatan hujah dan ilmu. Masyarakat yang tidak cerdas adalah masyarakat yang jumud dan sempit cara berfikirnya. Mereka menerima sesuatu pandangan berdasarkan kejahilan, ketaksuban dan kefanatikan.
6.         Masyarakat yang cerdas dan berbudaya ilmu adalah masyarakat yang mempunyai sahsiah dan jati diri yang mantap. Mereka berpegang pada prinsip-prinsip dan nilai-nilai yang berdasarkan pandangan alam dan agama yang tersendiri. Mereka tidak berkiblat ke Barat mahupun ke Timur. Kerananya mereka tidak menjadi seperti buih yang mudah dipukul ombak.

Untuk melakukan sesuatu dengan tepat, betul dan bijaksana, seseorang perlu  terlebih dulu mengerti tempat bagi segala sesuatu (adil). Orang yang keliru tidak akan dapat melakukan perkara dengan betul dan bijaksana. Pada hari ini kita sering melihat orang besar diperkecilkan dan orang kecil diperbesarkan. Orang yang tidak layak, diangkat menjadi pemimpin dalam bidang-bidang yang penting dalam menentukan nasib umat. Maka dari itu sangat penting bagi kita mengenal dan mengangkat orang-orang yang benar-benar berilmu. Dan membezakannya dengan orang-orang yang hanya mengumpul maklumat dan memiliki ijazah. Ini penting kerana menurut Wan Mohd Nor Wan Daud (2007):
“Guru-guru yang tidak berwibawa sebaliknya akan membazirkan banyak waktu, tenaga dan harta membesarkan isu-isu dan tokoh-tokoh kecil, dan mengecilkan isu-isu dan tokoh-tokoh yang sebenarnya besar; merongkaikan dasar-dasar yang telah kukuh disepakati ilmuwan muktabar sekian lama;  menggunakan slogan-slogan popular tanpa huraian bermakna. Ilmu akan rosak. Ilmuwan sebenar akan disisihkan. Selain itu, guru-guru yang kurang wibawa akan cenderung berpegang kepada ide-ide, dasar-dasar dan amalan yang selalu berubahrubah,
menolak sesuatu idea, dasar dan amalan dengan keras yang kemudiannya akan dipeluknya dengan melampau”. Keunggulan Tradisi Keilmuan Islam tercermin apabila para sultan begitu
dekat dengan ulama. Sultan Abu Yusuf Yaqub (1160-1199) meminta Ibn Rushd untuk menulis tentang falsafah Aristotle supaya dapat difahami dengan baik, mana yang bermanfaat dan mana yang tidak. Atas sokongan yang diberikan olehnyalah Ibn Rushd berhasil menjadi ilmuwan yang terbilang. Ibn Khaldun juga mempersembahkan karya monumentalnya al-Ibar sebanyak tujuh jilid kepada Sultan Zahir Barquq di Mesir dan Sultan Abu Faris di Fez. Mengetahui kehebatan Ibn Khaldun, sultan mengangkatnya menjadi Hakim besar Mesir.

Jelas terdapat kepedulian yang tinggi di kalangan para sultan terhadap ilmu dan ilmuwan. Tradisi keilmuan seperti inilah yang menjadikan budaya ilmu semakin subur. Kerana adanya galakan dan sokongan para penguasa, para ilmuwan bersemangat dan didorong untuk menguasai pelbagai bidang keilmuan. Setiap jerih payah mereka terasa dihargai dan berguna kepada masyarakat dan
negara. Kehebatan sultan tidak menjadikan para ilmuwan kerdil. Ulama juga tidak mudah merendahkan martabat mereka demi meraih keuntungan duniawi. Mereka merasa berhak menegur dan memberikan kritikan terhadap pemerintah. Para khalifah pun menghargai dan menghormati teguran tersebut. Khalifah Abdul Rahman III pernah ditegur kerana tertinggal solat Jumaat oleh seorang Qadi bernama Munzir al-Balluti. Ketika ditanya oleh puteranya sama

ada beliau mahu memecat Qadi tersebut Sultan menjawab: “Aku lebih rela memutus hubungan denganmu, tapi aku tidak akan memecat Qadi ini yang merupakan satu nikmat Allah SWT kepada kita semua. Aku akan solat Jumaat di belakangnya selagi dia masih hidup” Para Ulama berperanan sebagai penasihat yang baik dan pemerhati yang bijak atau kini dalam sistem demokrasi dikenali dengan istilah check and balances. Abu Yusuf menulis kitab al-Kharaj yang didalamnya terkandung juga nasihat-nasihat kepada penguasa, Al-Mawardi menulis Nasihat al-Muluk, al-Ghazali menulis al-Tibr al-Masbuk fi Nasihat al-Muluk, di Alam Melayu kita ada Raja Ali Haji yang menulis Thamarat al-Mahammah Diyafatun li al- Kubara wa Ahl al-Mahkamah. Ulama-ulama besar ini tidak sesekali berfungsi sebagai alat untuk menjustifikasikan kuasa kuku besi khalifah atau sultan mereka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan