Pengikut

Isnin, 27 Mei 2013

KERAJAAN YANG BIJAKSANA: UNSUR TERPENTING DALAM KEJAYAAN SEBUAH TAMADUN

Tidak seperti yang selalu digambarkan, pemerintahan Islam tidak selamanya penuh dengan perebutan kuasa dan pertumpahan darah. Terdapat masa di mana kekuasaan bersifat kuku besi berleluasa dan ada masanya pemerintahan sultan yang adil dan bijaksana berlaku untuk sekian lama. Pembangunan ilmu adalah langkah pertama yang dilakukan oleh sultan Andalus. Sultan pertama, Abd al-Rahman b. Mu’awiyah al-Dakhil yang merasa cukup dengan gelaran Amir (pemimpin) Andalus, memerintahkan rakyatnya membina masjid pada tahun 786 H. Masjid itu dikenali dengan masjid Kordoba. Setelah pembinaan masjid sultan, seterusnya membina perpustakaan yang besar dengan hartanya sendiri. Seperti dicatat oleh seorang sejarawan
Barat, Stanley Lane-Poole (1967), bahawa al-Hakam memiliki lebih 400,000 buah buku. Pada zaman itu belum wujud percetakan seperti hari ini. Semua koleksi tersebut hasil tulisan tangan. Jika dia tidak dapat membeli yang asli dia memerintahkan orang untuk menyalinnya. Kesemua koleksi buku tersebut dikatakan telah dibaca oleh sultan. Sehingga al-Hakam II dikenal sebagai kutu buku.

Al-Hakam juga dikatakan sultan pertama yang membina universiti di Andalusia. Bahkan beliau juga menjadi penaung yang membiayai kegiatan ramai sarjana dan saintis Andalusia. Hasil kebijaksanaan para pemimpinnya, sewaktu kegemilangan kota Kordoba memiliki 600 buah masjid, 900 tempat mandi awam, 50 hospital, dan beberapa pasar tempat perniagaan dan perdagangan. Seseorang boleh berjalan di waktu malam sejauh puluhan batu kerana lampulampu
dinyalakan untuk menerangi jalan. Hanya 700 tahun kemudian hal ini terjadi sebagai inovasi besar di London dan Paris.
Kebijaksanaan sultan-sultan Andalusia amat nyata. Seorang lagi sultan Andalusia, Abd al-Rahman III, digambarkan sebagai berikut (Gayangos 1843):
“...penguasa yang lemah lembut dan paling berpengetahuan. Kelemahlembutannya, kemurahan hatinya, dan kecintaannya akan keadilan telah menjadi buah mulut di mana-mana; tidak seorang pun dari anak cucunya pernah melampaui dia dalam hal keberanian di medan tempur dan keunggulan lainnya yang menjadikan dia sebagai seorang penguasa yang cekap dan dicintai; ia mencintai ilmu dan disegani oleh orang terpelajar. Dengan orang-orang inilah ia gemar melakukan pembicaraan, menghabiskan masa yang ia curi daripada pekerjaan pentadbiran. Di istananya ia mengadakan pertemuan sastera   yang dihadiri oleh semua penyair terkemuka dan orang-orang terpelajar.”
Mengenai kejayaan pembangunan di Andalusia, Lane Poole mengatakan :
“Kordoba memiliki semua keindahan dan perhiasan yang memanjakan mata serta menyilaukan pandangan. Deretan panjang Sultan-sultannya membentuk mahkota keagungannya;
kalungnya adalah untaian mutiara yang dikumpulkan para penyairnya dari lautan bahasa; gaunnya adalah pengetahuan yang gilang-gemilang, dirajut kemas oleh para lelaki dan
perempuan terpelajar; dan pakar semua cabang seni dan industri adalah baju kebanggaannya”.
Kebijaksanaan seseorang pemimpin terpancar apabila ia dapat membawa masyarakat yang dipimpinnya ke arah kecemerlangan dan kejayaan yang hakiki.

Daripada sudut pandangan Islam, kejayaan hakiki sudah tentu mengambil kira
kesejahteraan aqli, jasadi dan rohani. Dalam al-Muqaddimah, Ibn Khaldun (2004) mencatat surat yang ditulis oleh Tahir bin al-Husayn (m. 844) untuk anaknya, Abdullah b. Tahir, yang dilantik oleh khalifah al-Ma’mun (m. 833) untuk menjadi gabenor di al-Raqqah dan Mesir dan daerah antara keduanya.

Isi surat nasihat ini sampai kepada pengetahun al-Ma’mun. Setelah membaca
kandungan surat tersebut al-Ma’mun memerintahkan agar surat tersebut
disebarluaskan kepada semua pegawai kerajaan untuk menjadi panduan mereka
dalam bekerja. Di bawah ini beberapa perkara penting yang ditekankan dalam
surat tersebut:
a. Menjaga ibadah harian;
b. Mempelajari agama, mendekati ahli agama;
c. Bersikap sederhana dalam setiap perkara, tidak berlebihan dalam hal
keduniaan;
d. Bersangka baik dengan orang lain dan berhati-hati dalam membuat
tuduhan;
e. Mengikuti perintah agama dan melaksanakan hudud;
f. Mendekati orang soleh dan menjauhi orang yang buruk akhlaknya;
g. Melabur harta negara untuk kepentingan dan kemudahan rakyat;
h. Selalu mendengar pandangan fuqaha, pakar dan ilmuwan. Tidak
mendengar pandangan orang-orang yang mementingkan keduniaan;
i. Tidak bersikap bakhil khususnya kepada orang bawahan;
j. Bersikap adil kepada semua orang termasuk kepada musuh, tidak
pilih kasih atau mementingkan golongan tertentu (nepotisme,
kronisme);
k. Menjaga kebajikan orang bawahan;
l. Menghormati orang-orang besar dan berpengaruh dalam masyarakat;
m. Melantik orang yang akan melaporkan segala tindak tanduk dan
prestasi para pekerja;
n. Berlembut dan beramah mesra dengan rakyat;
o. Mendekati para ulama. Menghormati orang yang tidak takut akan
kebesaranmu untuk memberi nasihat yang jujur kepadamu;
p. Jangan mengungkit pemberianmu kepada rakyat.
Tradisi kepimpinan yang bijaksana inilah yang telah ditanamkan pada
generasi kehebatan tamadun Islam. Al-Mawardi (975-1059) dalam bukunya
al-Ahkam al-Sultaniyyah menggariskan 6 sendi utama yang mesti wujud dalam
sebuah pemerintahan Islam:
1. Penghayatan agama yang mendalam;
2. Penguasa yang berwibawa;
3. Keadilan yang menyeluruh;
4. Keamanan yang merata. Di sini al-Mawardi menyadari bahwa
konflik yang berpanjangan akan menjadi penghalang kepada kemajuan
yang berterusan;
5. Kesuburan Tanah yang berkesinambungan;

6. Harapan Kelangsungan Hidup (Munawir Sjadzali 1993).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan