Pengikut

Selasa, 28 Mei 2013

PENGAJARAN DARI MASA LALU ANTARA MADINAH DAN ANDALUSIA

Di atas sebuah pintu gerbang universiti Andalusia tertulis dengan megah: “Dunia ini dibangunkan di atas empat tiang utama: keilmuan para sarjana, keadilan para pemimpin, doa orang-orang Soleh dan keberanian para pahlawan.” Keunggulan tamadun Islam, baik yang berlaku di Andalusia mahupun di sebelah dunia lainnya, bertitik tolak daripada keunggulan Islam. Sehingga seseorang dengan penuh keyakinan dapat mengatakan bahawa tanpa Islam,
bangsa Arab, Farsi, Spanyol, Turki dan Melayu, tidak akan pernah mengecapi zaman kegemilangan sebagaimana mereka kecapi setelah mereka menerima Islam. Walaupun penyataan ini terlihat triumphalist namun hakikatnya ia didukung oleh kenyataan sejarah bagi bangsa-bangsa yang disebutkan di atas.

Berdasarkan fakta di atas juga maka sesuatu penyelidikan mengenai keunggulan tamadun Islam di Andalusia tidak sempurna tanpa menyelidiki terlebih dahulu bibit-bibit kecemerlangan yang ditanamkan pada generasi awal Islam. Analisis yang mendalam terhadap sirah Rasulullah SAW akan membawa seseorang kepada hakikat bahawa pembinaan generasi unggul telah mula
dilakukan oleh Rasulullah sejak baginda diutus sebagai Rasul. Malah di tangan bagindalah masyarakat Arab mula melalui proses transformasi sosial dan kebudayaan. Maka kita dapat katakan kejayaan umat Islam baik di Andalusia mahupun di sebelah dunia lainnya bertunjangkan asas-asas yang telah dibina oleh Rasulullah SAW di Madinah. Andalusia tidak berdiri sendiri di dalam ruang kosong, ia hasil daripada himpunan tradisi kecemerlangan yang akarnya adalah pandangan alam Islam dan tunjangnya adalah Tawhid.

Andalusia hanya salah satu pusat kebudayaan dari banyak lagi pusat kebudayaan yang dibina oleh kerajaan Islam. Andalusia sering diangkat sebagai model terbaik kerana meninggalkan kesan dan warisan yang luar biasa sehingga ke hari ini. Ia juga dianggap besar kerana telah membukakan pintu kemajuan bagi tamadun Barat. Ringkasnya Andalusia besar kerana dari rahimnya telah lahir tamadun lain yang juga besar, iaitu tamadun Barat. Namun, perlu diingat
bahawa banyak lagi daerah lain yang dibangunkan oleh umat Islam. Baghdad dan Kaherah juga merupakan pusat kebudayaan dan keilmuan yang unggul.

Ramai ilmuwan terkenal dan saintis ulung juga dilahirkan dan mengabdi di tempat-tempat lain selain Andalusia, seperti di Baghdad, Damashiq, Kaherah dsb. Malah boleh dikatakan bahawa Andalusia hanyalah satu mata rantai dari banyak mata rantai lain yang membentuk peradaban Islam. Sebelum Andalusia, Baghdad adalah pusat peradaban Islam yang melahirkan ramai ilmuwan dan saintis terkemuka. Mata rantai tersebut bermula di Madinah dan berakhir di Acheh atau Demak di Nusantara pada abad ke-16 dan 17. Namun malangnya projek ketamadunan di Nusantara terhenti dengan kehadiran penjajah.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan