Pengikut

Isnin, 27 Mei 2013

PEMERINTAHAN YANG ADIL: RAHSIA PENTING KEGEMILANGAN ANDALUSIA

Amat jelas bahawa Andalusia membangun dengan pesat kerana raja-rajanya memerintah dengan adil. Perlu kita fahami bahawa keadilan bukan hanya satu konsep yang berkaitan dengan pemerintahan dan politik sahaja. Sebelum ia menjadi konsep politik ia adalah konsep yang bersifat kerohanian dan metafizik. Pendek kata, seseorang yang tidak bersikap adil kepada Tuhannya tidak akan bersikap adil kepada rakyatnya. Seseorang yang tidak tahu bagaimana
menempatkan ilmu dan kejahilan tidak akan dapat membangunkan negara. Ketika al-Hakam I (796) menaiki takhta untuk menggantikan ayahnya Hisham, ayahnya berpesan (Scott 1904):
“Hendaklah kamu berlaku adil kepada semua tanpa mengira miskin atau kaya, berbuat baik dan berlemah lembut kepada orang yang bergantung kepadamu kerana semuanya samasama
ciptaan Allah. Amanahkan penjagaan kota-kota dan daerah-daerahmu kepada ketua yang setia dan berpengalaman; kenakan hukuman tanpa belas kasihan menteri-menteri yang menindas rakyatmu; uruskan tenteramu dengan sederhana dan tegas; ingatlah bahawa senjata diberikan kepada mereka untuk mempertahankan diri bukan untuk menghancurkan Negara mereka; dan ingatlah bahawa mereka dibayar secara berterusan kerana mereka diharap terus menunaikan tanggungjawab mereka; berusahalah untuk mendapatkan kecintaan rakyat terhadapmu, kerana dengan kecintaan mereka akan aman negara ini, dengan ketakutan mereka akan bahaya negeri ini,
dengan kebencian mereka akan rosak negeri ini. Lindungilah tanah dan gandum yang sentiasa menjadi sumber kekuatanmu; jangan biarkan hasil tuaian mereka musnah, atau hutan mereka
dirusakkan; berbuatlah apa sahaja agar rakyatmu merestuimu dan mereka dapat hidup di bawah lindunganmu, dan hanya dengan demikian engkau akan menjadi sultan yang paling disanjung.”
Namun malangnya al-Hakam I tidak mengikuti pesan ayahnya. Al-Hakam I justeru menjadi pemerintah yang zalim dan tidak peduli bahkan kejam terhadap rakyat. Dia sultan pertama yang dikelilingi oleh 6 ribu pengawal peribadi. Beliau menghukum rakyatnya dengan kejam walaupun atas kesalahan yang kecil. Pada zamannya berlaku beberapa pemberontakan. Dia bertanggungjawab  melakukan pembunuhan terhadap pembesar-pembesar Toledo, satu peristiwa
yang dinamakan “Day of the Ditch”. Pada zaman dialah Barcelona jatuh ke tangan Kristian dan ia adalah kemenangan besar pertama yang diperolehi oleh Kristian dan memberi mereka semangat baru menyerang umat Islam (Abd al- Wahid al-Marakeshi 1968).

Kerajaan yang zalim seperti ditulis oleh Ibn Khaldun (2004) akan merusakkan pembangunan negara. Penguasa Abd al-Rahman I walaupun bermusuhan dengan khalifah Abbasiah tidak mendakwa dirinya khalifah tetapi beliau merasa cukup dengan gelaran Amir. Beliau menumpukan kepada pembangunan Negara dan mengukuhkan kekuatan ketenteraan. Gelaran
khalifah hanya digunakan oleh raja dinasti Umawiyyah ke-8, Abd al-Rahman III. Namun zaman kegemilangan bagi pemerintahan dinasti Umawiyyah di Andalusia juga bertahan sehingga Abd al-Rahman III (912-961). Menarik untuk dicatat bahawa kehadiran umat Islam di Andalus bukan satu bentuk agresi tetapi atas permintaan pemerintah bahagian Ceuta ketika itu yang bernama Julian (dalam bahasa Arab Alyan) untuk membalas dendam terhadap Raja Roderic yang telah melakukan kekejaman dan penindasan di Andalusia.

Setelah pemerintahan dinasti Umawiyyah, Andalusia mula berada di ambang kejatuhan. Di samping serangan bertubi-tubi dilakukan oleh Kristian untuk melakukan penaklukan semula (reconquest), perpecahan dalam tubuh umat Islam mula berlaku. Sultan terakhir dinasti Umawiyyah adalah Hisham III b. Muhammad (1027-1036). Hanya pada zaman al-Muwahhidun Andalusia kembali bersinar khususnya dibawah pimpinan Yusuf Abu Ya’qub (1163- 1184). Dinasti al-Muwahhidun, begitu juga sebelumnya al-Murabitun, berhasilmenyekat kemaraan kuasa Kristian dan mempertahankan Andalusia dari dirampas. Tetapi pemerintahan dinasti al-Muwahhidun hanya bertahan 139 tahun. Kekalahan getir al-Muwahhidun berlaku dalam perang Las Navas de Tolosa pada 1212 yang berpunca dari keengganan sultan mendengar nasihat para
panglimanya yang berpengalaman. Kekalahan ini menyebabkan 70,000 orang Islam disembelih atas arahan paderi Toledo. Setelah sultan terakhir al-Muwahhidun, sultan Muhammad al-Nasir meninggal, Andalusia berada dalam gerbang kehancuran. Khalifah terakhir, Abu Abdullah terpaksa menyerahkan Granada, benteng pertahanan terakhir, ke tangan Ferdinand pada tahun 1492 kerana telah 7 bulan dikepung dan khalifah bimbang akan ramai rakyatnya yang mati kebuluran. Pada saat meninggalkan Granada khalifah melinangkan air mata, Ibunya lalu berkata kepadanya: “Jangan menangis seperti seorang perempuan untuk sesuatu yang tidak dapat kau pertahankan seperti seorang lelaki”.

Nasib Andalusia setelah ketiadaan pemerintahan Islam amat menyedihkan. Bangsa pendatang yang disebut Mooris dihukum bunuh dan diusir secara besarbesaran,hanya kerana mereka orang Islam. Mereka yang ingin kekal berada di Spanyol mesti bertukar agama. Bukan hanya umat Islam yang ditindas, umat Kristian yang beraliran Unitarian juga dipaksa bertukar kepada Trinitarian, begitu juga kaum Yahudi. Inquisisi dilaksanakan dengan amat kejam, seseorang yang tidak mengamalkan ajaran Trinitarian akan dia adili, digantung dan dibakar, sehingga masyarakat Spanyol berada dalam kegelapan kembali setelah berada dalam kemuncak ketamadunan Hanya pada 1813 inquisisi dinyatakan sebagai bertentangan dengan perlembagaan dan dihapuskan pada 1834. Inquisisi ini jugalah, menurutAhmad Thomson, yang menimbulkan kebencian masyarakat Eropah kepada
agama dan melahirkan semangat ilmiah moden yang anti Tuhan.

 Keadilan tercermin dalam polisi kerajaan Islam. Antara sikap adil seorang penguasa yang paling penting adalah meletakkan seseorang pada tempatnya yang sesuai. Seorang penguasa yang adil tidak akan melantik seseorang yang tidak layak sedangkan ada orang yang lebih layak walaupun ia adalah saudaranya atau kaum kerabatnya. Zaman kegemilangan tamadun Islam ditandai dengan zaman umara (pemerintah) menghormati ulama (ilmuwan). Sebaliknya zaman kejatuhan
juga ditandai dengan kerakusan umara sehingga sanggup memperalat ulama. Ibn Khaldun (1332-1406) hidup di era kejatuhan tamadun Islam di Afrika Utara dan Andalusia. Beliau telah menyaksikan bagaimana kerajaan-kerajaan yang gagah perkasa tumbang satu persatu. Walaupun beliau telah dilantik menjadi perdana menteri dan orang besar ketika beliau berada di Andalusia
dan Tunisia. Namun beliau sering juga diperalat oleh umara untuk kepentingan kekuasaan mereka. Hal ini sering berlaku pada masa itu kerana pada zaman itu telah berlaku perpecahan politik dan perebutan kekuasaan yang amat dahsyat sehingga pemerintah cuba melakukan apa sahaja untuk memastikan kuasa berada ditangan mereka. Penghargaan terhadap ulama yang pada awal Islam benar-benar jujur dan ikhlas bertukar menjadi pemanfaatan para pemimpin
(umara) terhadap kaum ilmuwan (ulama). Ibn Khaldun menyedari hal ini dan menolak beberapa kali untuk diperalat walaupun ditawarkan jawatan yang tinggi tetapi tindakannya itu justeru mengundang kemurkaan sultan. Adalah sesuatu yang malang apabila Ibn Khaldun diburu oleh sultan Abu Abbas di Tunisia kerana enggan menyertai kerajaan dan keluarganya dikenakan tahanan rumah. Ibn Khaldun terpaksa melarikan diri ke Mesir dan hanya setelah
Ibn Khaldun menjadi Kadi Besar di Mesir, maka keluarganya diizinkan menyertainya akan tetapi malangnya keluarganya karam dalam pelayaran ke Iskandariyyah, Mesir. Adalah penting untuk kita lihat bahawa bibit-bibit zamankejatuhan terpampang jelas apabila ulama dijadikan alat oleh penguasa untuk kepentingan politiknya.

Pertikaian dalaman dan perpecahan mula berlaku setelah kekuasaan tidak lagi berada di tangan khalifah yang kuat. Kerajaan-kerajaan kecil, yang dinamakan dengan muluk al-tawaif atau taifa de reyes, terlalu lemah untuk melawan reconquesta Kristian. Mereka hanya mampu meminta belas kasihan Alfonso dengan membayar ufti yang justeru akan terus memperkuat kerajaan
Kristian. Permusuhan antara sesama umat Islam, menurut De Gayangos dan dirujuk oleh Thomson berlaku hanya kerana perbezaan aliran dan golongan:
“terpecah belah satu sama lain, kaum Muslimin mulai mengukur diri mereka sebagai anggota dari bangsa-bangsa yang berbeza, dan semakin hari semakin sukar bagi mereka untuk bersatu
padu dalam kepentingan bersama; dan sebab perpecahan di kalangan mereka ini, serta rasa saling bermusuhan di antara mereka, seiring dengan kepentingan kotor dan ambisi berlebih-lebihan dari beberapa orang raja mereka, orang-orang Kristian mampu menyerang kaum Muslimin secara total dan menundukkan mereka satu demi satu”.

Sikap adil dijelmakan termasuk terhadap orang bukan Islam. Andalusia adalah contoh bagaimana toleransi beragama telah dilaksanakan oleh umat Islam jauh sebelum konsep itu yang kini kononnya diperjuangkan oleh Barat. Ramai sejarawan, termasuk Gibbon, mengakui bahawa pada zaman Andalusia diperintah oleh orang Islam, orang-orang Kristian dan Yahudi hidup dalam
kedamaian dan keamanan (Thomson & Muhammad Ata’ ur-Rahman 2004). Tetapi toleransi beragama yang dicontohkan oleh umat Islam ini tidak dihargai baik oleh orang-orang Yahudi mahupun Kristian. Proses kristenisasi secara paksa berlaku secara besar-besaran setelah Andalusia ditakluki Ferdinand III.

Masjid Kordoba yang indah dan megah yang dibina oleh Abd al-Rahman al- Dakhil pada 788 ditukar menjadi gereja pada 1236. Toleransi hancur setelah Andalus berada di tangan orang-orang Kristian. Sejarah mencatat bahawa pada abad ke-13 sahaja 3 juta orang Islam dan 2 juta orang Yahudi diusir dari Spanyol. Seramai 40 ribu orang Yahudi menerima converso. Bukan hanya kedamaian beragama hilang dari bumi Spanyol, cahaya ketamadunan dan keilmuan juga hilang dari bumi Andalusia.


KESIMPULAN
Sesungguhnya sangat penting bagi kita mengkaji faktor-faktor kemajuan dan kejatuhan tamadun Islam di masa lalu untuk mengambil iktibar dan pengajaran daripadanya. Adalah suatu kebodohan jika kesilapan-kesilapan masa lalu itu kita ulangi pada masa ini. Ketika mengupas tentang iklim kehidupan intelektual di Andalusia, Wan Mohd Nor (2007) menulis:
“Ramai di antara kita sentiasa berbangga dengan pencapaian agung umat Islam terdahulu, sama ada di Andalusia atau di tempat-tempat lain, tetapi tidak begitu ramai yang mahu meninjau secara ilmiah akan iklim dan faktor-faktor yang memungkinkan terlahirnya hasil yang sedemikian agung. Jika kita ingin membangunkan sebuah masyarakat, bangsa dan tamadun yang agung, kita harus jugalah cuba memahami iklim dan mengenal pasti faktor-faktor tersebut,
dan berusaha mencipta sebaik mungkin, iklim dan faktor-faktor yang serupa, setelah mengambil kira perbezaan tempat dan zaman”.

Tumpuan perlu diberikan kepada proses pembudayaan ilmu dan bukan hasilnya. Cabaran untuk melahirkan masyarakat yang berilmu dan maju tidak cukup dengan slogan dan retorika sahaja. Berikut adalah langkah praktikal untuk dilaksanakan pada hari ini:
1. Mewujudkan persekitaran yang kondusif. Untuk membangun tradisi keilmuan yang unggul, perlu diwujudkan dan dimantapkan sarana yang dapat menyokong tujuan tersebut. Ini termasuklah iltizam institusi kerajaan dan kepimpinan tertinggi untuk merujuk dan menghormati pandangan ilmuwan dan para pakar dalam bidang masing-masing; wujudnya kebebasan untuk kaum ilmuwan melontarkan pandangan di ruang awam; pembangunan perpustakaan umum yang dapat memudahkan akses masyarakat terhadap ilmu; merancakkan aktiviti-aktiviti ilmiah; seperti wacana, seminar, bengkel, dan sebagainya. Apa yang penting adalah usaha murni yang bersepadu dan berterusan ke arah pembudayaan ilmu. Ini termasuklah pengurangan sarana-sarana yang dapat menyuburkan budaya hiburan atau hedonisme. Tanpa usaha mengekang hedonisme maka usaha menyuburkan minat kepada ilmu akan terhambat kerana kuatnya daya
tarikan ke arah hedonisme tersebut.

2. Penghormatan dan apresiasi yang murni terhadap para ilmuwan.  Universiti-universiti perlu memberikan penghargaan yang tinggi kepada para ilmuwan berdasarkan kepada pencapaian mereka yang benar-benar besar. Sampai saat ini, di banyak negara-negara umat Islam, ilmuwan tidak diberikan penghormatan yang sewajarnya. Hal ini akan menjejaskan penghormatan masyarakat kepada ilmuwan dan juga menghambat perkembangan prestasi ilmuwan. Tidak sedikit ilmuwan Muslim yang memilih berhijrah ke negara-negara Barat kerana di sana mereka lebih dihargai walaupun oleh orang bukan Islam. Penghargaan tidak seharusnya berdasarkan kepada kuantiti atau populariti karya mereka tetapi kepada kepentingan dan keperluan hasil
karya mereka. Anugerah nobel contohnya diberikan bukan berdasarkan kepada populariti mahupun kuantiti tetapi kepada sumbangannya kepada idealisme-idealisme masyarakat Eropah.
Sudah tentu keutamaan bagi masyarakat Islam berlainan dengan masyarakat Barat hari ini yang telah maju. Maka anugerah perlu diberikan kepada karya-karya besar yang menyumbang ke arah
pemerkasaan bangsa Melayu dan umat Islam umumnya.
3. Menghidupkan budaya ilmu. Adalah tanggungjawab para pemimpin juga untuk menghidupkan budaya ilmu. Berbeza dengan budaya hiburan, pop dan budaya konsumerisme, budaya ilmu adalah budaya yang tinggi. Ia hanya dimiliki oleh masyarakat yang telah mempunyai jiwa dan minda yang merdeka. Oleh itu kebebasan intelektual adalah unsur yang sangat penting. Justeru pemimpin umat Islam tidak perlu gusar dan marah jika dikritik dan ditegur oleh para ilmuwan kerana apa yang mereka lakukan sebenarnya adalah untuk kebaikan masyarakat bersama. Ia tidak sama sekali bertujuan untuk menjatuhkan pemimpin yang sedia ada. Para pemimpin perlu faham bahawa para ilmuwan mempunyai tanggungjawab untuk memperbetulkan keadaan, kerana jika tidak merekalah yang akan dipersalahkan dan dipertanggungjawabkan kelak.

4. Membangun masyarakat yang bermoral. Tujuan pendidikan, seperti yang dijelaskan oleh al-Attas, adalah menciptakan generasi yang beradab. Nilai moral yang tinggi juga yang akan menghalang tamadun itu dari kejatuhan. Sungguh malang apabila cita-cita kebangkitan hanya berujung dengan kejatuhan demi kejatuhan. Belum lagi umat Islam bangkit sudah dihadapkan dengan keruntuhan akhlak, kemunduran akademik, dan kejatuhan ekonomi. Jika pada hari ini kita melihat bahawa ramai masyarakat yang terdidik ternyata tidak memiliki nilai moral yang tinggi, maka ini bermakna terdapat kekeliruan dalam falsafah dan pelaksanaan sistem pendidikan yang dilaksanakan selama ini.
Untuk memahami jatuh bangkitnya sesuatu tamadun tidak cukup hanya dengan melihat kepada pencapaian-pencapaian masa lalu. Kita perlu mengerti bahawa sesuatu pohon yang rimbun dan kukuh semestinya memiliki akar yang kuat (asluha thabitun wa far’uha fi al-sama’). Akar peradaban Islam adalah tawhid, ketinggian budaya ilmu, peranan ilmuwan sebagai pencerah dan
pendidik, akhlak dan nilai moral yang tinggi. Kerosakan pada akar-akar ini, seperti kekeliruan epistemologi, kerendahan dan ketidakcerdasan pemikiran, hilangnya semangat kekitaan (asabiyyah) dan nilai moral yang tinggi, berleluasanya absolutisme dan kuku besi adalah punca kejatuhan tamadun Islam. Perkara-perkara yang saya telah sebutkan sebagai musuh-musuh
peradaban yang sejak mula menjadi musuh Islam.
Kita memiliki legasi dan model kemajuan yang indah dan gemerlapan di masa lalu. Apa yang perlu ada pada kita hanyalah kesungguhan dan keikhlasan, bukan hanya semangat, retorika, dan slogan-slogan kosong. Yang jelas nasib umat Islam pada masa hadapan ditentukan oleh apa yang kita lakukan pada hari ini. Mungkinkah masa depan untuk Islam?


Tiada ulasan:

Catat Ulasan