Pengikut

Selasa, 28 Mei 2013

MEMBANGUN TRADISI KEILMUAN ISLAM

Tradisi keilmuan Islam berkembang pesat dengan tertubuhnya pusat pengajian terkenal di Baghdad, Basrah, Kufah dan Andalus. Begitu juga perkembangan perpustakaan yang menjadi pusat penyelidikan para ilmuan Islam. Pada mulanya masjid dijadikan pusat penyebaran ilmu sebelum terdirinya kuttab (tadika), madrasah (sekolah) dan Jami’ah (universiti). Ada beberapa faktor yang menyebabkan tradisi keilmuan Islam ini berkembang pesat iaitu galakkan daripada pihak khalifah dengan mendirikan institusi pendidikan, toko-toko buku dan perpustakaan berkembang pesat, guru-guru yang mengajar dengan penuh keikhlasan serta kegiatan pembukuan
Kita sungguh kagum apabila membaca sejarah umat Islam dahulu yang begitu berminat membaca , mengajar serta memperkembangkan ilmu. Masing-masing berlumba-lumba untuk memberi saham dalam memajukan institusi pendidikan dengan mewakafkan sebahagian daripada harta mereka.
Kegiatan keilmuan ini membuktikan bahawa tradisi keilmuan Islam berkembang pesat pada zaman tersebut bersama dengan kegemilangan tamadunnya. Sesuatu tamadun tidak dapat dibina tanpa tradisi keilmuan. Dengan kata lain, sesuatu tamadun berkembang berseiringan dengan tradisi keilmuan yang mantap dan tuntas. Oleh sebab itu, pembinaan tamadun kini mesti mengambil kira tradisi keilmuan dengan mewujudkan dan memperbanyakkan institusi pendidikan yang berkualiti dan bertaraf antarabangsa. Begitu juga, kita perlu melahirkan ulama, sarjana dan pemikir yang berkaliber yang mampu membuat kajian, penyelidikan dan penterjemahan. Tanpa unsur-unsur tersebut institusi pendidikan dan keilmuan tidak akan berkembang.

Perkara yang kita kehendaki sekarang ialah ibukota Kuala Lumpur bukan sahaja terkenal sebagai destinasi pelancongan tetapi juga dikenali sebagai pusat keilmuan sekurang-kurangnya di rantau ini sebagaimana yang berlaku di kota metropolitan yang lain seperti London, Paris, St. Andrew, Sorboune dan Kaherah. Mereka datang bukan sahaja membawa balik barangan elektronik buatan Malaysia tetapi beg-beg mereka penuh dengan buku-buku tulisan ilmuan kita. Inilah yang kita harapkan. Untuk mencapai impian tersebut maka para sarjana dan intelek Islam tempatan perlu bekerja keras dalam mewujudkan suasana tradisi keilmuan yang harmonis. Perkara-perkara asas seperti buku rujukan perlu diperbanyakkan, penyelidikan mesti diperhebatkan dan perpustakaan perlu ditambah lagi atau sekurang-kurang buku-bukunya. Tabiat menulis di kalangan para sarjana dan ulama perlu dipertingkatkan lagi. Mereka perlu memikir apakah jenis buku serta penyelidikan yang diperlukan oleh masyarakat hari ini terutama dalam menghadapi pasca modernisme. Adakah hanya terbatas kepada buku-buku ringan semata-mata. Para penulis Islam perlu mengenal arus perdana dan keperluan yang harus dihadapi di zaman pasca modenisme ini. Sesungguhnya cabaran ilmuan sekarang lebih sengit dan tajam lalu menuntut penglibatan yang total daripada ilmuan itu sendiri. Pada hari ini para ulama dan sarjana tidak boleh maju hanya berbekalkan “air liur” semata-mata tanpa menghasilkan buku ilmiah terutama karya-karya agung Melayu yang sewajibnya diterjemahkan ke bahasa antarabangsa. Walaupun kemungkinan kita akan mengalami kerugian dari segi material. Dengan demikian, harapan untuk menjadikan Kuala Lumpur tempat tumpuan peminat-peminat buku untuk berkunjung akan tercapai. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan